Ilmu.

Al ilmu fis sudur.. laisa fis sutur.. ilmu itu letaknya pada hati-hati.. bukan pada garisan-garisan.. yakni pada buku-buku. Namun, berapa banyak kita lihat sindrom pelajar hari ini sering belajar untuk peperiksaan. Akhirnya, setelah tamat peperiksaan segala yang dipelajari kebanyakannya dilupakan sama sekali…sayang sekali.

Jika kita soroti kisah kehidupan para ilmuwan Islam di zaman kegemilangan Islam, kita akan dapati bahawa mereka mempunyai satu persamaan yang cukup nyata – yakni mereka pakar di dalam bidang ilmu yang mereka ceburi dan cabang-cabang ilmu yang ada kaitan dengan bidang mereka. Pengetahuan mereka luas. Ilmu mereka menggambarkan peribadi mereka. Ilmu mereka terserlah di dalam setiap gerak-geri kehidupan mereka. Kita pasti tertanya-tanya bagaimana mereka mampu menguasai pelbagai bidang ilmu dalam satu masa?

Allah SWT mewahyukan al-Quran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW untuk mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya dan memimpin manusia ke arah kehidupan yang benar-benar bermanfaat buatnya di dunia dan di akhirat kelak. Tiadalah saranan dan ajaran yang lebih benar dan lebih bermanfaat daripada saranan dan ajaran Allah SWT yang disampaikan dengan penuh rahmat kasih sayangnya buat seluruh umat manusia sepertimana firman-Nya:

“Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. “

Az-Zumar : 9

“Dan orang-orang yang diberi ilmu (ahli kitab) mendapati bahawa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar dan menunjuki (manusia) kepada jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. “

Saba’:6

Jawapannya mudah. Mereka tidak lain hanyalah ingin menyahut seruan Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui untuk menjadi golongan yang berilmu. Seruan yang manakah yang lebih wajar untuk kita ikuti melainkan suruhan Allah SWT dan Rasulnya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Pelajarilah ilmu kerana mempelajarinya (membawa) takut kepada Allah, menuntutnya adalah ibadah, membincangkannya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah pendekatan diri kepada Allah, kerana ilmulah petunjuk kepada yang halal dan haram, menara kepada jalan penghuni syurga, teman setia di saat kesunyian, rakan di masa keseorangan, teman berbicara di waktu khulwah, petunjuk kepada yang membawa bahagia dan yang membawa kecelakaan, senjata menghadapi musuh, perhiasan di saat bersama teman-teman. Dengan ilmu Allah telah mengangkat (tinggi) kedudukan banyak kaum, sehingga Allah menjadikan mereka pimpinan yang tegak, jejak langkah mereka diikuti, perbuatan mereka dicontohi dan pendapat mereka dijadikan pemutus. Para malaikat terlalu kepingin berteman dengan mereka, sentiasa mengusap mereka dengan sayapnya. Setiap benda lembab, kering, ikan dan binatang di laut, binatang buas di darat dan binatang jinak kesemuanya memohon agar mereka diampunkan. Kerana ilmu menghidupkan hati dari kejahilan, lampu bagi penglihatan di saat kelam. Dengan ilmu hamba dapat mencapai kedudukan orang-orang pilihan dan darjat yang tinggi di dunia dan akhirat. “

Nah, bukankah banyak kelebihan mereka yang berilmu. Tidaklah kita ingin tergolong di dalam golongan yang disayangi Allah SWT, para malaikat, rasul-rasulnya dan seluruh alam ini?

Satu lagi persamaan yang boleh kita dapati tersemat di dalam peribadi para ilmuan Islam ialah mereka mempelajari ilmu-ilmu ad-Deen terlebih dahulu sebelum mereka menceburi bidang-bidang fardhu kifayah yang lain. Ini adalah kerana mereka memahami bahawa tiada ilmu yang lebih tinggi dan banyak manfaatnya selain ilmu ad-Deen.

Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai manusia, sesungguhnya ilmu itu dengan belajar, dan kefahaman itu dengan usaha memperdalamkan kefahaman. Siapa yang dikehendaki Allah (mendapat) kebajikan Allah akan menjadikannya faham tentang agama. Dgn sesungguhnya hamba Allah yang takut kepadaNya ialah para ulamak. “

“Kiranya Allah menghendaki kebaikan pada seorang hambaNya, Allah akan menjadikannya faham tentang agama dan mengilhamkan kepadanya kebijaksanaannya.”

“Contoh bandingan para ulamak di muka bumi ini samalah dengan bintang-bintang di langit. Ia dijadikan petunjuk di saat kegelapan di darat dan di laut. Apabila bintang itu tenggelam orang yang mendapat petunjuk pun mulai sesat. “

Di sini kita melihat bahawa memahami ad-Deen adalah matlamat utama yang harus kita kejar. Bukanlah kebaikan yang sebenarnya jika kita mendabik dada dengan kejayaan akademik kita yang dianugerahi pingat-pingat dan piala-piala kerana seorang muslim akan mengiringi kejayaannya dengan syukur dan memohon agar ia tidak disesatkan daripada tujuan sebenar ia menuntut ilmu tersebut – yakni menyahut seruan Allah SWT untuk menjadi golongan yang berilmu dan menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT. Adalah menjadi harapan seorang mukmin dengan ilmu yang ia perolehi imannya akan bertambah kukuh. Lalu bagaimana dengan kita?

Marilah kita fikirkan sejenak bagaimanakah kita mula-mula mengenal dan mempelajari ilmu Islam. Sebahagian daripada kita mungkin bermula dengan kelas mengaji dan kelas fardhu ain. Mungkin juga ada yang bersekolah di sekolah rendah agama. Untuk yang menghadiri sekolah harian, kita belajar ilmu Islam ketika kelas pendidikan agama. Namun, selepas tamat persekolahan di mana lagi kita menghala untuk mempelajari ilmu Islam? Yang benar-benar terkesan dengan pelajaran di sekolah mungkin sudi meluangkan masa ke kuliah-kuliah agama di masjid dan surau. Mungkin juga mendengar forum-forum di kaca televisyen. Bagaimana dengan yang lain?

Satu perkara yang perlu kita sedari ialah menuntut ilmu ad-Deen itu adalah lebih utama kerana ianya bukan sahaja menentukan untung nasib kita dunia sahaja tetapi di akhirat juga. Bekalan apakah yang dapat kita bawa ke hadapan Allah SWT nanti sekiranya kita tidak belajar tentang cara menyediakan bekalan tersebut. Rasulullah SAW, para sahabat, tabiet tabien dan para ulama salaf hinggalah ke hari ini telah menjalankan tugas mereka untuk menyebarkan ilmu Islam dengan seluas-luasnya. Sudahkah kita mengizinkan diri kita untuk pergi menjenguk sebentar apakah mesej yang mereka bawa?

Pada zaman ini, Islam telah menerima tamparan yang cukup hebat daripada seluruh pelusuk dunia. Pelbagai tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam. Lebih menyedihkan apabila umat Islam sendiri menjadi agen penyebaran tohmahan dan tuduhan yang memedihkan ini samada secara sengaja atau tidak sengaja dan samada sedar atau tidak sedar. Justeru, adalah penting untuk kita generasi muda Islam yang terpelajar ini memikul tanggungjawab memurnikan kembali imej Islam yang telah dipalitkan dengan imej negatif yang langsung tidak sesuai dengan kemurnian dan sucian yang dimilikinya. Tapi bagaimana?

“Saya tidak mengatakan bahawa setiap orang dari anda semua harus menjadi seorang ulama, membaca kitab-kitab yang tebal dan menghabiskan waktu sepuluh atau belasan tahun untuk usaha tersebut. Anda tidak perlu membaca kitab yang tebal-tebal untuk menjadi seorang Muslim. Saya hanya menghendaki bahawa setiap orang dari anda menyediakan waktu satu jam sahaja dari dua puluh empat jam yang anda miliki dalam sehari-semalam untuk mempelajari pengetahuan tentang ad-din.”

Kata-kata ini dipetik daripada buku Dasar-dasar Islam nukilan seorang pemikir Islam di Pakistan pada pertengahan kurun ke-20 yang lalu, Abul A’la Al-Maududi, dan ianya wajar disahut oleh golongan yang terpelajar seperti anda semua. Bukankah iman itu lebih berharga daripada segala-galanya? Dan bila iman lebih berharga bagi kita daripada segalanya, maka tidak akan sulit bagi kita untuk menyediakan waktu satu jam setiap hari untuk mempelajari pengetahuan Islam.

Tidak cukup juga dengan itu, kita juga perlu meluangkan masa untuk menghadiri majlis-majlis ilmu, halaqah-halaqah dan mengambil tahu tentang berita-berita umat Islam lain di dada-dada akhbar dan internet. Kita juga perlu mendampingi golongan yang berilmu dan mengambil daripada mereka hikmah yang mereka terokai agar dapat kita kongsikan dengan sahabat-sahabat kita. Ketahuilah bahawa dengan ilmu kita akan mampu memperbaiki diri dan memperbaiki nasib umat islam hari ini.

Kita perlu kembali semula kepada ilmu al-Quran dan as-Sunnah untuk kita benar-benar mengecap kejayaan yang kita inginkan di dunia dan di akhirat. Ini merupakan hujah yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW di dalam khutbah Wida’ dan ianya masih relevan hingga ke hari ini. Umat Islam telah mencuba pelbagai formula untuk bangkit daripada kejatuhan mereka sejak berkembangnya tamadun barat. Namun, tiada satu formula pun yang berjaya kerana kebanyakan formula tersebut telah bercampur-aduk dengan pemikiran barat. Kemunduran kita bukan sahaja berpunca daripada ketidak-terbukaan kita kepada idea-idea baru tetapi lebih besar lagi berpunca daripada ketidak-selarian kita dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Janganlah kita terpedaya dengan agenda jahat yang mengasingkan antara Islam dan kemajuan. Kita akan dapat melihat sendiri akan kemajuan Islam seandainya kita sudi menjenguk ke dalam dunia Islam yang sebenarnya.

Bersama-samalah kita menuntut ilmu sejajar dengan tuntutan Islam.

“Siapa yang menjalani satu jalan (dengan tujuan beliau) mencari ilmu di sana, Allah akan memudahkan kepadanya jalan ke syurga.”[masih ada sambungan] (H.R. at-Tarmizi)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: