Dakwah Yang Asing

Februari 5, 2009

Ramai bertanya tentang dakwah. Ada yang bernada sangsi. Ada juga yang benar-benar ingin mengisi ruang inkuiri. Tak kurang juga yang ingin memancing faham untuk mengambil bahagian dalam usaha dakwah yang murni.

Andai ada yang bertanya tentang dakwah kepadaku, akan ku katakan bahawa dakwah itu adalah seruan kepada meng-Ilahkan Allah SWT. Ia peringatan akan kekuasaan Allah SWT, perihal syurga dan neraka, perihal dosa dan pahala, perihal kehidupan dunia dan akhirat. Tiadalah dakwah itu membawa kepada membesarkan seorang ulama mahupun pemimpin. Tidak juga dakwah itu menyeru kepada mengagungkan sebuah organisasi. Bahkan mustahil untuk dakwah itu menggunakan sebarang anasir demi kemenangan yang dicita tanpa mengira halal haram.

Andai ada yang bertanya kepadaku akan nilai dakwah, akan ku katakan kepada mereka bahawa dakwah itu lebih bernilai daripada dunia dan seisinya. Usah dibanding dakwah dengan segulung ijazah, pangkat, harta bertimbun mahupun nikmat dunia yang tidak akan sudah diteroka seumur hidup kerana ia tidak layak sekalipun diletakkan pada neraca yang sama. Dakwah itu lebih mulia dan berharga daripada semua itu. Kerana itulah para pendakwah rela memilih miskin daripada kaya, ikhlas berbanding nama, pahala berbanding harta.

Andai ada yang bertanya tentang halatuju dakwah, akan ku katakan bahawa dakwah itu ingin membawa manusia kepada meng-Esakan Allah, tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain termasuklah nafsu, syahwat, harta, pangkat, kelab bola sepak, artis, kereta lamborgini, ps3 dan yang seumpama dengannya. Dakwah itu ingin membawa manusia kepada berhukum dengan hukum Allah, bekerja kerana Allah, berkasih-kasihan kerana Allah, berbelanja kerana Allah, melancong kerana Allah, berjihad kerana Allah dan seumpama dengannya. Dakwah itu ingin memperlihatkan kepada manusia bahawa janji Allah bahawa Islam itu adalah rahmat sekalian alam sebagai hakikat yang jelas lagi terang kebenarannya.

Andai ada yang bertanya bagaimana dakwah melakukan semua itu, akan ku katakan kepada mereka bahawa dakwah bermula dengan mengajak manusia memperteguhkan akidah dengan mendisiplinkan diri dengan ibadah khusus dan sunat. Kemudian, dakwah berusaha membina keperibadian akhlak yang tinggi nilainya berlandaskan ikatan akidah dan ukhuwah. Berbekalkan keteguhan akidah, amal dan akhlak ini, dakwah akan menyebar-luas kebajikan, ketinggian nilai dan kehormatan manusiawi. Ia bermula dengan ahli keluarga, kenalan, jiran, kawan sepejabat, rakan niaga hinggalah kepada pemimpin tempatan mahupun antarabangsa. Dakwah berhasrat membina rangkaian ekonomi berkebajikan, rangkaian sosial sejahtera, pemerintahan yang adil, pendidikan bermutu, gaya hidup sihat, ekosistem seimbang, dan sistem pertahanan yang kuat. Dakwah berhasrat membina wilayah contoh yang bakal menjadi nilai dakwah yang jitu kepada wilayah-wilayah lain. Semua ini dicapai berbekal iman. Semua ini juga dicapai untuk membawa manusia kepada beriman kepada Allah.

Andai ada yang bertanya bagaimana mungkin dakwah memikul impian sebesar itu, akan ku katakan kepada mereka bahawa dakwah ini dengan izin Allah akan tersebar luas dengan bilangan pengikut yang cukup ramai untuk memikul beban ini. Ia tanggungjawab setiap muslim yang sedar akan hakikat tuntutan syahadah yang memintanya supaya berusaha sedaya-upayanya untuk bersaksi kepada keluarga, rakan, jiran mahupun dunia sekalipun bahawa Allah itu Maha Pencipta dan kepada-Nyalah kita akan kembali dan kepada-Nya jualah kembali segala urusan.

Andai ada yang masih bertanya bagaimana mungkin dakwah boleh berjaya sedang dunia kini dikuasai kuasa barat daripada semua sudut, akan ku katakan kepada mereka bahawa kejayaan Islam itu pasti. Janji Allah itu pasti. Islam itu bakal kembali memerintah dunia sebelum sangkala ditiupkan. Islam akan bangkit dengan semangat juang dan jihad mukmin yang yakin dengan janji Tuhannya. Mungkin pendakwah hari ini tidak dapat menyaksikan episod kejatuhan Rom Barat tapi mereka boleh berbangga bahawa mereka mempunyai saham yang dilabur demi jihad yang sama. Sesungguhnya amal dan usaha kita yang bakal dihitung dan bukannya sejauh mana kejayaan yang dikecapi. Usaha itu pilihan kita manakala kejayaan itu hak Allah untuk menganugerahkannya kepada golongan yang layak pada masa yang telah ditetapkannya.

Andai masih ada yang bertanya, akan ku katakan bahawa sekadar ini sahaja layak untuk aku berkata-kata kerana aku bimbang aku bicara perkara yang tidak aku amalkan. Aku bimbang masa aku berbicara memendekkan lapangan amal yang tersedia buatku dalam usia sesingkat ini. Sesungguhnya benarlah bahawa medan bicara itu lebih luas daripada medan amal, medan amal itu lebih luas daripada medan jihad. Masa yang kita ada tidak sebanding dengan kerja yang kita miliki. Izinkan aku menyahut panggilan amal. Doakan supaya aku terpilih menyarung sepatu jihad. Aku doakan semoga persoalan mereka terjawab sebelum maut menjemput mereka. Moga Allah merahmati golongan yang bertanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: