Eksklusif Palestine: FAQ Konflik Israel-Palestine 08/09

Januari 13, 2009

Kenapa HAMAS melancarkan roket ke wilayah Israel?

Tindakan HAMAS melancarkan roket adalah satu tindak-balas kepada beberapa siri serangan yang dilancarkan tentera Israel di sekitar sempadan Gaza yang telah membunuh beberapa orang rakyat Palestine dan tentera Gaza. Israel jelas tidak menghormati gencatan senjata selama 6 bulan yang dipersetujui dalam ‘Peace Valley Plan’ hasil inisiatif Tony Blair, Ketua Pasukan PBB tentang Isu Palestine tatkala melancarkan serangan ke wilayah Gaza bermula pada 4 November 2008.

Jadi Israel yang memulakan perang kali ini?

Israellah yang memulakan konflik hari ini. Bermula dengan merampas tanah Palestine sejak awal 1900, mereka dengan kejamnya mendirikan sebuah negara haram yang peliknya direstui oleh PBB. Penipuan mereka tidak pernah berhenti kerana mereka tahu US dan beberapa negara Eropah menyokong mereka. Perang pada kali ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah dalam rangka mereka memusnahkan semangat juang dan penentangan berterusan rakyat Palestine untuk memerdekakan diri mereka daripada cengkaman Israel dan kuasa barat. Mereka sengaja melancarkan siri serangan kecil pada 4 November sebagai provokasi terhadap HAMAS untuk membalas. Harus kita ingat bahawa walaupun diserang HAMAS masih ingin melanjutkan perjanjian damai tetapi tidak diendahkan Israel. Justeru, sebaik tamat tempoh gencatan senjata HAMAS melancarkan roket ke wilayah Israel.

Kenapa dunia tidak maklum akan hal ini?

Kerana sekitar 4 November dunia sedang hangat mengikuti perkembangan pilihanraya di US. Akhbar dan TV hanya memfokuskan pandangan pada Obama!

Mengapa HAMAS tidak menghentikan serangan roket sekiranya ia mampu menyelamatkan rakyat Gaza daripada terus dibedil Israel?

Harus kita ingat bahawa Israel tidak pernah hirau akan keselamatan rakyat Palestine. Ini bukan isu baru. Mereka sudah masak dengan perangai Israel. Jika dalam tempoh gencatan senjata sekalipun Israel membedil rakyat Palestine inikan pula bila gencatan senjata tidak berkuat-kuasa. Dengan kata lain, menghentikan serangan roket tidak akan menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestine.

Jadi apa HAMAS peroleh daripada tindakan melancarkan roket ke wilayah Israel kerana sehingga hari ini kita melihat korban rakyat Palestine semakin bertambah?

Kemenangan! Ya, kemenangan. HAMAS tidak menyangka Israel akan membalas serangan roket mereka dengan perang nekad seperti yang kita lihat pada hari ini. Ianya sungguh kejam! Tetapi apabila Israel menetapkan bahawa mereka akan meneruskan serangan dan memenangi konflik ini dengan melumpuhkan keupayaan ketenteraan HAMAS, hanya serangan roketlah yang bakal menafikan keangkuhan Israel untuk memenangi perang kali ini. Hanya serangan roketlah yang boleh membunuh semangat tentera Israel yang angkuh. Hanya serangan roketlah yang bakal mendedahkan kepada dunia akan kekejaman Israel yang selama ini seakan-akan tidak dipedulikan masyarakat antarabangsa. Nah, hari ini terpampang di hadapan mata kita akan keangkuhan Israel melakukan jenayah perang.

Jadi HAMAS rela menyaksikan rakyat mereka dibedil Israel?

Siapa kita untuk mempersoal kerelaan HAMAS melihat rakyat mereka dibedil sedangkan merekalah yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat Palestine sejak mula HAMAS ditubuhkan. Apabila Arafat dan Fatah mula bersekongkol dengan Israel dan US untuk menipu rakyat Palestine, HAMAS menjadi wakil tunggal yang mempertahankan tanah air, identiti dan maruah rakyat Palestine. Perhatikan bagaimana tokoh mereka, Nizar Rayyan, yang rumahnya dibedil lantas mengorbankan 4 orang isteri dan 8 orang anaknya, menunjukkan contoh dan keberanian. Persoalan rela atau tidak timbul di pihak HAMAS. Yang patut kita tanyakan ialah relakah Israel meneruskan kekejaman yang tidak mengenal beza antara kanak-kanak, wanita, orang tua dan tentera?

Sejauh mana corak penentangan HAMAS dalam konflik hari ini boleh meninggalkan kesan yang positif kepada rakyat Palestine?

Penentangan HAMAS adalah satu usaha berterusan untuk mengenakan tekanan kepada Israel dalam usaha membebaskan rakyat Palestine daripada kekejaman dan penjajahan. Konflik pada hari membuka ruang untuk HAMAS terus menyuarakan permintaan mereka yang seperti dipekakkan oleh masyarakat antarabangsa. HAMAS mahu Israel menghentikan kekejaman mereka. HAMAS mahu kepungan Israel terhadap Gaza yang selama ini telah menyebabkan rakyat Gaza menderita kelaparan, kekurangan bekalan perubatan, dan putus bekalan tenaga dihentikan. HAMAS mahu hak mereka untuk memerintah selepas memenangi pilihanraya pada 2006. HAMAS mahu kedaulatan Palestine diiktiraf dengan Israel keluar daripada wilayah Palestine yang dimaklumi sebelum krisis 1967. HAMAS mahu Israel membebaskan rakyat Palestine di West Bank (kini di bawah kuasa Mahmud Abbas) daripada pemerintahan tentera. Apabila masyarakat antarabangsa mengiktiraf permintaan asas ini banyak perubahan positif bakal mengambil tempat. HAMAS bertindak realistik kerana mereka tahu hanya kerjasama dengan masyarakat antarabangsa boleh menghentikan kekejaman Israel.

Kenapa HAMAS tidak meletakkan senjata dan menyelesaikan konflik hari ini di meja rundingan?

Pertama sekali, HAMAS telah bersedia berunding dengan Israel sejak 1994 lagi. Israel bagaimanapun enggan berunding dengan HAMAS kerana mereka melabel HAMAS sebagai terrorist. Mereka lebih senang berunding dengan FATAH kerana FATAH bersedia mengiktiraf kewujudan Israel dan mudah diperkotak-katikkan. Jadi bagaimana HAMAS boleh menerima perjanjian yang langsung tidak melibatkan mereka di dalam perbincangan.

Kedua, Israel tidak pernah menepati janji mereka setiap kali rundingan damai berlangsung. Berpuluh-puluh Resolusi UN tidak diendahkan. Antaranya resolusi yang mengisyhtiharkan pengharaman Israel untuk menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara mereka, mengarahkan Israel keluar dari wilayah Palestine yang sah sejak 1967, membenarkan rakyat Palestine kembali ke tanah air mereka, melepaskan kepungan dan sekatan ekonomi dsbgnya.

Ketiga, HAMAS tidak pernah mengatakan mereka tidak bersedia berunding. Pemimpin HAMAS yang berada dalam buangan sentiasa bergerak membina inisiatif rundingan namun suara mereka tidak diendahkan. Pihak antarabangsa enggan melibatkan HAMAS di meja rundingan kerana mereka masih melabel HAMAS sebagai terrorist. Ajakan mereka hanyalah ajak-ajak ayam sahaja. Lebih malang lagi apabila permintaan HAMAS tidak pernah diendahkan sedangkan apa yang diminta oleh HAMAS adalah hak-hak mereka yang telah pun diluluskan oleh berpuluh-puluh resolusi UN.

Antara keengganan Israel duduk semeja dengan HAMAS ialah kerana HAMAS tidak bersedia mengiktiraf Israel dan menerima pelan penubuhan dua negara dalam wilayah Palestin. Kenapa HAMAS tidak bersedia untuk berkompromi dalam isu ini sekiranya ia boleh menyelamatkan nyawa rakyat Gaza?

HAMAS berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan kebenaran. Mengiktiraf Israel memberikan impak yang amat negatif bukan sahaja dari sudut prinsip tetapi undang-undang, polisi antarabangsa, dan hak-hak kemanusiaan. Ketundukan dan kesediaan UN, EU dan US untuk mengiktiraf Israel tidak menjadikan satu kemestian untuk HAMAS turut sama mengalah. Mereka boleh berputus-asa mencari jalan penyelesaian kepada konflik ini tetapi rakyat Palestin yang menanggung derita saban hari tidak akan berhenti mempertahan hak-hak mereka.

Perlu kita fahami bahawa sekiranya HAMAS mengiktiraf Israel dan menerima pelan 2 negara ia bermaksud:

1. HAMAS mengiktiraf bolehnya wujud sebuah negara yang dibina atas tindakan merampas tanah warganegara lain.
2. HAMAS mengiktiraf tindakan Israel merampas tanah rakyat Palestine dan membiarkan rakyat mereka hidup dalam buangan di kem-kem pelarian ie. menafikan secara total hak mereka untuk kembali ke kg. halaman mereka
3. HAMAS mengiktiraf kebenaran ajaran Zionis dan hak-hak Zionis terhadap Jerusalem
4. HAMAS mengiktiraf kebenaran ajaran Zionis berbanding akidah Islam yang memberi hak dan kemuliaan menjaga Jerusalem kepada umat Islam
5. HAMAS mengiktiraf tindakan ganas Zionis yang telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Palestin sejak 1948 atas dasar mempertahan diri dan negara mereka
Jadi isu ini adalah isu yang amat besar merangkumi aspek akidah, undang-undang, prinsip keadilan dan hak-hak kemanusiaan sejagat. Mengiktiraf Israel bermakna mengiktiraf keganasan dan pencabulan kepada hak-hak kemanusiaan. Jika UN, EU dan US mengalah untuk memikul tanggungjawab ini, HAMAS bersedia memikulnya. Maka kita seharusnya berbangga dengan perjuangan HAMAS dan bangun untuk menyokong mereka. Lihatlah pada hari, bukan umat Islam sahaja yang menyokong, semua orang cintakan keadilan dan kebenaran bangkit memberikan sokongan kepada HAMAS.

Jadi apakah jalan penyelesaian kepada isu ini?

Secara benarnya Israel harus menyerahkan kepada rakyat Palestine untuk menentukan nasib mereka kerana merekalah yang merampas tanah rakyat Palestine. Tapi kita perlu realistik di dalam hal ini. Israel tidak akan tunduk dan rakyat Palestine juga tidak kan berhenti berjuang mempertahankan hak-hak mereka. Justeru jalan penyelesaian yang jelas buat masa ini hanyalah perjanjian damai yang panjang. HAMAS telah pun mencadangkan perjanjian damai selama 10 tahun pada 2003 tetapi ditolak mentah-mentah oleh Israel dan US.

Israel perlu menunjukkan komitmen mereka terhadap pelan damai kerana merekalah yang memulakan konflik ini dan merekalah yang kerap kali mencabuli gencatan senjata. Dalam konflik hari ini contohnya, Israel telah merancang serangan sejak setahun yang lalu. Dengan kata lain, Israel menandatangani Peace Valley Plan selama 6 bulan secara tidak ikhlas kerana dalam diam mereka merancang untuk menyerang Gaza sebaik gencatan senjata 6 bulan tamat.

Sebagai langkah pertama dalam usaha pelan damai yang panjang ini, Israel perlu melaksanakan segala tuntutan resolusi-resolusi yang diluluskan UN. Antaranya ialah keluar secara total dari West Bank, Timur Jerusalem dan Gaza, melepaskan kepungan dan sekatan ekonomi terhadap wilayah Palestine, tidak menyekat bantuan kemanusiaan masuk ke Palestine.

Israel dan dunia perlu mengiktiraf demokrasi di Palestine yang mana telah mengangkat HAMAS sebagai parti memerintah yang sah. Label terrorist ke atas HAMAS perlu dilucutkan. Kerjasama perlu dijalin untuk memastikan wilayah Palestine terus dalam keadaan aman.

Sekiranya perjanjian damai ini berjalan dengan baik, mungkin di masa akan datang kita akan dapat melihat Israel dan Palestine dapat hidup aman dalam wilayah yang sama. Ini bukan mustahil kerana tamadun Islam dahulu membuktikannya apabila Islam, Kristian dan Yahudi dapat hidup aman di Jerusalem.

Mereka yang prihatin dengan konflik Israel-Palestine ini sering diajak berdemonstrasi dan memboikot produk Israel. Sejauh manakah langkah ini meninggalkan kesan?

Ramai yang memandang remeh pendekatan ini. Mereka yang hadir berdemonstrasi dan turut serta memboikot produk Israel juga tidak terlepas daripada pandangan sebegini. Akhirnya, demo dan boikot tidak ada kesinambungan dan terhenti di tengah jalan. Ia hanya hangat apabila ada isu yang cukup besar berlaku.

Demonstrasi adalah pendekatan yang amat efektif di dalam negara demokrasi. Demonstrasi adalah ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat mereka secara lantang. Pemimpin di bawah sistem demokrasi tidak boleh mengendahkan laungan-laungan demonstrasi kerana mereka tahu bahawa ia bakal memberi impak negatif ketika pilihanraya seterusnya.

Demonstrasi juga adalah ruang berkesan untuk menyebarkan maklumat, mewujudkan kesedaran awam dan membina sokongan umum terhadap sebarang isu. Kita akan dapat banyak manfaat sekiranya kita benar-benar melibatkan diri di dalam demonstrasi dan bukannya sekadar menunjukkan muka, menghulur derma, bergambar dan kemudian pulang dengan perasaan ‘aku telah menyumbang’. Justeru jika hadir ke demonstrasi lawati meja-meja aktivis, tekun mendengar input-input daripada pemidato dan ambil inisiatif untuk bertanya bantuan dalam bentuk apa yang boleh kita hulurkan.

Boikot pula adalah pendekatan yang berkesan dari aspek ekonomi. Ianya seumpama sekatan ekonomi atau embargo tapi dalam bentuk yang lebih unik kerana ia menunjukkan kesatuan yang lebih meluas. Kita dapat melihat kesan efektif boikot terhadap barangan Denmark semasa isu kartun Muhammad SAW tidak lama dahulu. Ianya tidak mustahil dalam isu Israel. Yang kita perlukan ialah komitmen. Kita perlu melatih diri kita. Memang tidak dinafikan senarai syarikat yang menyumbang kepada Israel panjang. Tapi kalau dapat mulakan dengan 5 produk pada tahun pertama dan perlahan-lahan menambah 5 lagi produk seterusnya pada tahun-tahun berikutnya kita akan dapati ianya tidaklah sesukar yang kita bayangkan. Boikot terhadap barangan Israel ini harus dibudayakan.

Mungkin ada yang mengatakan ianya bakal meninggalkan kesan negatif kepada status ekonomi. Ianya adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya ia bakal merancakkan ekonomi dengan keluaran produk-produk baru daripada usahawan-usahawan kecil terutamanya di negara-negara membangun. Ia bakal mewujudkan saingan dalam pasaran dan menjadikan ekonomi lebih kompetitif. Syarikat-syarikat besar Israel akan terpaksa tunduk dan tidak boleh lagi menabik dada memonopoli keuntungan pasaran. Tanpa keuntungan tiadalah sumbangan buat Israel dan tiadalah peluru, F-16 dan roket-roket yang dapat dibeli untuk membedil Palestine.

Namun, apa yang paling penting adalah ganjaran pahala yang kita himpunkan daripada usaha ini. Usah kita mengeluh kita tidak mampu menyumbang apa-apa. Nah, caranya telah diketengahkan. Rebutlah pahala di medan yang terbuka ini.

Andai demonstrasi dan boikot serta tekanan-tekanan lain (seperti lobi di UN, lobi di OIC, lobi di Liga Arab, kajian akademik tentang isu Israel-Palestine, embargo minyak, pengutusan tentera pengaman, tekanan ekonomi etc.) ini berjaya, percayalah Israel akan terpaksa tunduk. US juga terpaksa ikut sama. Memandangkan Israel disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia, serangan dan sokongan kita perlu dipelbagai. InsyaAllah dengan izin Allah kita akan menang melalui kesatuan tekad dan usaha kita ini.

Sekian.

Khalid Jimat,
Ketua Wakil MSM,
Mantan Presiden LUMSOC,
Leeds.

Advertisements

3 Responses to “Eksklusif Palestine: FAQ Konflik Israel-Palestine 08/09”

  1. Ahli ISRA' Says:

    salam…

    Nak mintak izin copy entri ni kat blog kami Baitul ISRA’ boleh? Semoga turut bermanfaat untuk pengunjung blog kami, iA..

    Jzkk…wassalam.

    -Ahli ISRA’-
    Dublin, Rep of Ireland

  2. Ahli ISRA' Says:

    Jzkk atas keizinan…:)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: