Manusia lahir ke dunia bertemankan nafsu. Berlalunya masa, manusia mengembangkan paradigmanya berbekalkan potensi akal yang dianugerahkan kepadanya; tidak kepada haiwan mahupun malaikat. Justeru, baligh menjadi titik tolak kepada pentas pertanggungjawaban yang menguji imbangan nafsu dan akal manusia.

Tiadalah pelan struktur imbangan yang lebih lengkap dan tinggi nilainya selain yang terkandung di dalam kalimah-kalimah Ilahi dan anjuran-anjuran ar-Rasul. Ia panduan di masa sukar mahupun senang, lelah mahupun ghairah, gelap mahupun cerah.

Al-Quran dan As-Sunnah memberikan kepada manusia gambaran besar akan hakikat penciptaan alam dan manusia itu sendiri. Keduanya membantu manusia membentuk imej yang tidak tergambarkan oleh pandangan dunia yang sempit dan statik. Keduanya bergabung lantas menunjuki manusia akan hakikat alam al-wujud yang terpapar di lensa retina mahupun iman.

Alangkah ruginya manusia apabila mereka mengabaikan al-Quran dan as-Sunnah, menyisihkan keduanya daripada hidup mereka yang dirasakan cukup lengkap berbekalkan timbunan kalam ilmu sains, ilham manusiawi, dan imaginasi-imaginasi. Tidakkah manusia itu sedar tindakannya itu umpama membiarkan sebiji telur terbiar tanpa cengkerangnya, umpama seorang perajurit memilih tombak berbanding M-16. Bukankah itu satu kerugian yang jelas dan ternyata keanak-anakan sifatnya?

Ternyata kecenderungan manusia memilih jalan keanak-anakan telah menyebabkan kerugian kepada dirinya sendiri dan dunia seluruhnya. Menyisihkan al-Quran dan as-Sunnah tidak hanya merugikan muslim malah alam sejagat kerana Islam itu adalah rahmat buat sekelian alam. Namun, janji Allah itu benar dan seharusnya akan muncul segolongan manusia yang sedia beriltizam dengan syariatnya sebagai pengganti manusia-manusia yang berpuas-hati untuk terus leka lena dibuai igauan jiwa keanakan-anakan mereka.

“Hidup itu kelana mencari Tuhan

Lalu dibekal Taurah dan Injil

Sayang ditukar diubah ikut igau dan ghairah

Quran anugerah buat diri iltizam berserah

Pengubat barah parah berdarah

Resepi hidup lebih berarah”

Setiap kali masa menyusun langkah mendekati jiwa-jiwa untuk menjemput mereka ke daerah kehidupan seterusnya, rentaknya terkesan dengan kehadiran malaikat ar-Rahmah. Bertandangnya utusan ghaib ini sentiasa dinanti-nantikan masa. Ketika itulah masa bisa menggunakan azimatnya untuk menanam tenang ke dalam jiwa-jiwa yang layak menerimanya.

Masa tidak pernah melanggar sunnahtullah. Tidak pernah lewat mahupun cepat walau sesaat. Kerana itu manusia sering berlumba mengejar masa. Masa itu lebih mahal daripada bongkah-bongkah emas. Masa adalah kehidupan. Tanpanya nafas tidak bermakna, degup jantung hanyalah sia-sia.

Manusia sering alpa akan nilaian masa. Masa yang tak ternilai harganya, bilamana dianugerahkan secara percuma kepada manusia yang fitrahnya pelupa, acap kali dihabiskan dengan acara-acara pesta kehidupan yang sia-sia dan merugikan. Bukankah masa itu ruang untuk mengumpul amal dan taqwa untuk tiket ke syurga?

Amat rugi manusia yang sering menghabiskan masanya dengan amal yang sia-sia. Lebih malang lagi mereka yang terus menerus menghabiskan masa selepas ia tahu akan nilaian peluang yang dibazirkannya. Usah kita berterusan dengan gaya  hidup yang sia-sia yang tidak menambah bekalan kita menghadap yang Maha Esa. Yang telah berlalu takkan kembali. Yang bakal mejelang harus ditempuhi dengan tekad amal yang berterusan.

Sesungguhnya tiada yang lebih bernilai daripada masa yang diberkati dengan amal dan taqwa. Percayalah bahawa amal baik walau sehari bisa menghapus takungan dosa yang berdekad lamanya…kerana sesungguhnya rahmat Allah itu lebih luas daripada langit dan bumi ini seisinya.

Perhamba dirimu pada Maha Pencipta

Akan kau lihat dunia datang kepadamu

Masa menambah ceria hidupmu

Hingga kau rasa ajal yang dekad

Adalah anugerah buatmu

Jemputan menghadap Yang Maha Memiliki

Kelibat masa selalu gagal dirakam mata. Bayangnya tidak pernah tergambar di geliga minda. Namun, hadirnya tidak pernah disanggah, ertinya tidak pernah dialpa, dan harganya tidak pernah disia-sia…oleh hati yang hidup!

Ya, hati yang hidup! Hati yang awal harinya diembun tangis tahajjud, siangnya bermandi keringat, dan malamnya ringan menghambur zikir. Hati yang sentiasa diperbaharui niatnya, ditandangi taubatnya, dan dihiasi untai-untaian mahmudah. Hati yang tenang menyusun langkah meninggalkan dunia buat menuju akhiratnya.

Ramai hari ini berlumba-lumba mengayakan khazanah minda memerah payah hingga ke menara gading. Tidak kurang juga ramainya menyusun-atur jadual riadah, diet, dan temujanji dengan tuan doktor demi afiat sebatang tubuh. Tapi siapa yang kisah akan nasib seketul daging yang dambakan santapan rohaninya? Siapa endah mencari penawar sebenar jiwa tatkala diri dilanda ujian, dihambat wahan, dan dibelai racun syahwat?

Alangkah ruginya insan…alangkah ruginya. Lupakah pada pesanan ar-Rasul, ‘ …andai raja-raja itu tahu akan indahnya iman, akan diburu kamu sekalian berbekal semua khazanah dunia untuk meragutnya daripada kamu…’

Kita seharusnya menyedari bahawa hidup ini adalah bayangan seketul daging bernama hati. Tidaklah kedudukan akal di atas (kepala) itu yang meninggikan peribadi, bahkan kedudukan hati di tengah-tengah (dada) itulah yang memuliakan ruh yang bermukim sementara dalam sebatang tubuh. Hati itu bertindak laksana pusat kuasa graviti yang memastikan akal, pancaindera dan anggota-anggota di sekelilingnya senantiasa berlegar pada paksi-paksi hidayah…asal sahaja ia dididik dengan syiar Islam yang mulia. Hati yang baik adalah pusat graviti…dunia penuh kebaikan.

Wahai jiwa-jiwa yang berkelana
Bertebaranlah memburu hikmah
Asal tak lupa membaja rohani
Agar ketemu tempat kembali

Setiap detik di dalam kehidupan berlalu membawa bersamanya simpulan perasaan. Begitu juga setiap gerak membuahkan natijah yang mandatori, setiap lintasan fikiran melakar keputusan-keputusan dan pilihan-pilihan di dalam kehidupan. Ini adalah sunnahtullah yang berlaku pada setiap detik yang berlalu hinggalah bertemunya insan itu dengan ajalnya.

Yang membezakan setiap simpulan perasaan yang terakam, setiap natijah yang didepani, setiap lintasan fikiran yang tercerna adalah pilihan yang kita ambil. Dan yang membezakan pilihan yang kita ambil adalah niat, cara dan prinsip-prinsip yang mendasarinya.

Di sebalik semua senario ini, yang sering dilupakan manusia ialah hakikat bahawa pengakhiran setiap sesuatu itu terletak pada qadar Allah SWT yang Maha Bijaksana. Berapa banyak hati yang terluka kerana gagal melihat hakikat ini. Berapa banyak natijah yang dipersalah dan ditolak realitinya tatkala gagal memahami hakikat ini. Ianya hakikat yang jelas hanya apabila diri itu bersedia menerima akan fitrah insaniahnya yang lemah dan amat memerlukan rahmat dan kasih sayang Yang Maha Pencipta.

Qadar Allah SWT sentiasa berjalan memayungi dan membelakangi setiap pilihan dan keputusan yang manusia ambil. Kadang-kadang ianya menepati kehendak manusia itu. Kadangkala ia mengecewakan manusia. Hati yang beriman menerima baik dan buruk qadar Allah SWT kerana baginya Allah SWT mempunyai rancangannya yang tersendiri. Yang sering dilakukan hati yang beriman adalah berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT atas setiap usahanya. Ia tidak berputus-asa dengan rahmat Tuhannya kerna ia tahu dunia ini adalah medan ujian. Yang dicarinya adalah kemenangan di akhirat sana.

Persoalan di mana Tuhan tatkala dunia dilanda bencana, kematian, peperangan, kelaparan, wabak penyakit, penindasan kaum dan sebagainya adalah persoalan golongan yang putus asa dengan rahmat Allah SWT dan golongan yang gagal memahami akan hakikat qadar Allah SWT dan hakikat penciptaan manusia. Masalah dunia perlu diselesaikan mereka yang mendiami dunia. Masalah dunia adalah tugas khalifah dunia untuk menyelesaikannya. Ujian dunia adalah milik dunia. Ujian dunia medannya adalah dunia.

“Dunia melelahkan
Hamba yang kerdil
Izinkan jiwa ini merintih
Tanpa alpa akan qadar-Nya
Sejahtera akalnya
Tenang aman jiwanya”

Menyusuri lorong masa, manusia melakar bersamanya lembaran sejarah. Ada yang tersemat di helaian diari…ada pula yang terakam di muka akhbar, buku-buku mahupun plat-plat kemenangan. Namun, tiada lembaran sejarah yang lebih lengkap daripada lembaran catatan raqib dan atid yang setia menemani setiap insan itu dari lahir hinggalah saat ia bertemu ajalnya.

Ramai hari ini mengejar impian sejarah diri dilakar sempurna di lembaran-lembaran dunia sehingga melupakan lembaran yang terpenting baginya – catatan amalnya. Uniknya lembaran amal ini terletak pada kesempurnaan, kebenaran dan keadilannya. Tatkala lembaran dunia boleh ditokok-tambah, diubah-suai untuk menepati selera dan kecenderungan para pembacanya, lembaran amal ini terjaga keasliannya, terperinci hinggalah ke zarah-zarahnya, dan terbukti kebenarannya dengan izin Tuhan Yang Maha Mengetahui sambil diakui indera insan itu sendiri dan disaksikan alam yang sentiasa berzikir mengingati Yang Maha Pencipta.

Tidakkah kita gerun dengan hakikat ini? Hanya insan yang gila sahaja mengatakan dirinya tidak tergerak dengan hakikat alam yang jelas ini. Jika dicari sepanjang hayat sekalipun akan jawapan yang sebaliknya, manusia itu bakal kecewa dengan ilusi yang tidak berpenghujung, terus-menerus mengolah sangkaan-sangkaan yang tidak pernah ada jawapan pastinya.

Insan yang gerun dengan hakikat keadilan alam ini akan memusatkan tujuan hidupnya untuk bermujahadah di dalam hidupnya. Ia bajai imannya dengan ibadah. Ia iringi tindak-tanduknya dengan ihsan. Ia hiasi harinya dengan syukur, taubat dan tawakal. Perlahan-lahan juga ia membersihkan dirinya dari sifat amarah, dengki, sombong dan prasangka buruk. Yang dikejar adalah redha Allah bukannya manusia.

“Tidaklah syurga itu menghindar
Melainkan manusia itu tak melamar
Dengan jiwa beriman tegar”

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.