Independence

Ogos 6, 2009

Labor

Independence is not just a state of being. It is a task.

Hope.

Jun 6, 2009

a_Given_Hope_by_Barfly_Dance

Hope is a dimension of the spirit.

It is not outside us, but within us. When you lose it, you must seek it again WITHIN YOURSELF and in PEOPLE around you – not in objects or even in events.

Dakwah Yang Asing

Februari 5, 2009

Ramai bertanya tentang dakwah. Ada yang bernada sangsi. Ada juga yang benar-benar ingin mengisi ruang inkuiri. Tak kurang juga yang ingin memancing faham untuk mengambil bahagian dalam usaha dakwah yang murni.

Andai ada yang bertanya tentang dakwah kepadaku, akan ku katakan bahawa dakwah itu adalah seruan kepada meng-Ilahkan Allah SWT. Ia peringatan akan kekuasaan Allah SWT, perihal syurga dan neraka, perihal dosa dan pahala, perihal kehidupan dunia dan akhirat. Tiadalah dakwah itu membawa kepada membesarkan seorang ulama mahupun pemimpin. Tidak juga dakwah itu menyeru kepada mengagungkan sebuah organisasi. Bahkan mustahil untuk dakwah itu menggunakan sebarang anasir demi kemenangan yang dicita tanpa mengira halal haram.

Andai ada yang bertanya kepadaku akan nilai dakwah, akan ku katakan kepada mereka bahawa dakwah itu lebih bernilai daripada dunia dan seisinya. Usah dibanding dakwah dengan segulung ijazah, pangkat, harta bertimbun mahupun nikmat dunia yang tidak akan sudah diteroka seumur hidup kerana ia tidak layak sekalipun diletakkan pada neraca yang sama. Dakwah itu lebih mulia dan berharga daripada semua itu. Kerana itulah para pendakwah rela memilih miskin daripada kaya, ikhlas berbanding nama, pahala berbanding harta.

Andai ada yang bertanya tentang halatuju dakwah, akan ku katakan bahawa dakwah itu ingin membawa manusia kepada meng-Esakan Allah, tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain termasuklah nafsu, syahwat, harta, pangkat, kelab bola sepak, artis, kereta lamborgini, ps3 dan yang seumpama dengannya. Dakwah itu ingin membawa manusia kepada berhukum dengan hukum Allah, bekerja kerana Allah, berkasih-kasihan kerana Allah, berbelanja kerana Allah, melancong kerana Allah, berjihad kerana Allah dan seumpama dengannya. Dakwah itu ingin memperlihatkan kepada manusia bahawa janji Allah bahawa Islam itu adalah rahmat sekalian alam sebagai hakikat yang jelas lagi terang kebenarannya.

Andai ada yang bertanya bagaimana dakwah melakukan semua itu, akan ku katakan kepada mereka bahawa dakwah bermula dengan mengajak manusia memperteguhkan akidah dengan mendisiplinkan diri dengan ibadah khusus dan sunat. Kemudian, dakwah berusaha membina keperibadian akhlak yang tinggi nilainya berlandaskan ikatan akidah dan ukhuwah. Berbekalkan keteguhan akidah, amal dan akhlak ini, dakwah akan menyebar-luas kebajikan, ketinggian nilai dan kehormatan manusiawi. Ia bermula dengan ahli keluarga, kenalan, jiran, kawan sepejabat, rakan niaga hinggalah kepada pemimpin tempatan mahupun antarabangsa. Dakwah berhasrat membina rangkaian ekonomi berkebajikan, rangkaian sosial sejahtera, pemerintahan yang adil, pendidikan bermutu, gaya hidup sihat, ekosistem seimbang, dan sistem pertahanan yang kuat. Dakwah berhasrat membina wilayah contoh yang bakal menjadi nilai dakwah yang jitu kepada wilayah-wilayah lain. Semua ini dicapai berbekal iman. Semua ini juga dicapai untuk membawa manusia kepada beriman kepada Allah.

Andai ada yang bertanya bagaimana mungkin dakwah memikul impian sebesar itu, akan ku katakan kepada mereka bahawa dakwah ini dengan izin Allah akan tersebar luas dengan bilangan pengikut yang cukup ramai untuk memikul beban ini. Ia tanggungjawab setiap muslim yang sedar akan hakikat tuntutan syahadah yang memintanya supaya berusaha sedaya-upayanya untuk bersaksi kepada keluarga, rakan, jiran mahupun dunia sekalipun bahawa Allah itu Maha Pencipta dan kepada-Nyalah kita akan kembali dan kepada-Nya jualah kembali segala urusan.

Andai ada yang masih bertanya bagaimana mungkin dakwah boleh berjaya sedang dunia kini dikuasai kuasa barat daripada semua sudut, akan ku katakan kepada mereka bahawa kejayaan Islam itu pasti. Janji Allah itu pasti. Islam itu bakal kembali memerintah dunia sebelum sangkala ditiupkan. Islam akan bangkit dengan semangat juang dan jihad mukmin yang yakin dengan janji Tuhannya. Mungkin pendakwah hari ini tidak dapat menyaksikan episod kejatuhan Rom Barat tapi mereka boleh berbangga bahawa mereka mempunyai saham yang dilabur demi jihad yang sama. Sesungguhnya amal dan usaha kita yang bakal dihitung dan bukannya sejauh mana kejayaan yang dikecapi. Usaha itu pilihan kita manakala kejayaan itu hak Allah untuk menganugerahkannya kepada golongan yang layak pada masa yang telah ditetapkannya.

Andai masih ada yang bertanya, akan ku katakan bahawa sekadar ini sahaja layak untuk aku berkata-kata kerana aku bimbang aku bicara perkara yang tidak aku amalkan. Aku bimbang masa aku berbicara memendekkan lapangan amal yang tersedia buatku dalam usia sesingkat ini. Sesungguhnya benarlah bahawa medan bicara itu lebih luas daripada medan amal, medan amal itu lebih luas daripada medan jihad. Masa yang kita ada tidak sebanding dengan kerja yang kita miliki. Izinkan aku menyahut panggilan amal. Doakan supaya aku terpilih menyarung sepatu jihad. Aku doakan semoga persoalan mereka terjawab sebelum maut menjemput mereka. Moga Allah merahmati golongan yang bertanya.

Manusia lahir ke dunia bertemankan nafsu. Berlalunya masa, manusia mengembangkan paradigmanya berbekalkan potensi akal yang dianugerahkan kepadanya; tidak kepada haiwan mahupun malaikat. Justeru, baligh menjadi titik tolak kepada pentas pertanggungjawaban yang menguji imbangan nafsu dan akal manusia.

Tiadalah pelan struktur imbangan yang lebih lengkap dan tinggi nilainya selain yang terkandung di dalam kalimah-kalimah Ilahi dan anjuran-anjuran ar-Rasul. Ia panduan di masa sukar mahupun senang, lelah mahupun ghairah, gelap mahupun cerah.

Al-Quran dan As-Sunnah memberikan kepada manusia gambaran besar akan hakikat penciptaan alam dan manusia itu sendiri. Keduanya membantu manusia membentuk imej yang tidak tergambarkan oleh pandangan dunia yang sempit dan statik. Keduanya bergabung lantas menunjuki manusia akan hakikat alam al-wujud yang terpapar di lensa retina mahupun iman.

Alangkah ruginya manusia apabila mereka mengabaikan al-Quran dan as-Sunnah, menyisihkan keduanya daripada hidup mereka yang dirasakan cukup lengkap berbekalkan timbunan kalam ilmu sains, ilham manusiawi, dan imaginasi-imaginasi. Tidakkah manusia itu sedar tindakannya itu umpama membiarkan sebiji telur terbiar tanpa cengkerangnya, umpama seorang perajurit memilih tombak berbanding M-16. Bukankah itu satu kerugian yang jelas dan ternyata keanak-anakan sifatnya?

Ternyata kecenderungan manusia memilih jalan keanak-anakan telah menyebabkan kerugian kepada dirinya sendiri dan dunia seluruhnya. Menyisihkan al-Quran dan as-Sunnah tidak hanya merugikan muslim malah alam sejagat kerana Islam itu adalah rahmat buat sekelian alam. Namun, janji Allah itu benar dan seharusnya akan muncul segolongan manusia yang sedia beriltizam dengan syariatnya sebagai pengganti manusia-manusia yang berpuas-hati untuk terus leka lena dibuai igauan jiwa keanakan-anakan mereka.

“Hidup itu kelana mencari Tuhan

Lalu dibekal Taurah dan Injil

Sayang ditukar diubah ikut igau dan ghairah

Quran anugerah buat diri iltizam berserah

Pengubat barah parah berdarah

Resepi hidup lebih berarah”

Setiap kali masa menyusun langkah mendekati jiwa-jiwa untuk menjemput mereka ke daerah kehidupan seterusnya, rentaknya terkesan dengan kehadiran malaikat ar-Rahmah. Bertandangnya utusan ghaib ini sentiasa dinanti-nantikan masa. Ketika itulah masa bisa menggunakan azimatnya untuk menanam tenang ke dalam jiwa-jiwa yang layak menerimanya.

Masa tidak pernah melanggar sunnahtullah. Tidak pernah lewat mahupun cepat walau sesaat. Kerana itu manusia sering berlumba mengejar masa. Masa itu lebih mahal daripada bongkah-bongkah emas. Masa adalah kehidupan. Tanpanya nafas tidak bermakna, degup jantung hanyalah sia-sia.

Manusia sering alpa akan nilaian masa. Masa yang tak ternilai harganya, bilamana dianugerahkan secara percuma kepada manusia yang fitrahnya pelupa, acap kali dihabiskan dengan acara-acara pesta kehidupan yang sia-sia dan merugikan. Bukankah masa itu ruang untuk mengumpul amal dan taqwa untuk tiket ke syurga?

Amat rugi manusia yang sering menghabiskan masanya dengan amal yang sia-sia. Lebih malang lagi mereka yang terus menerus menghabiskan masa selepas ia tahu akan nilaian peluang yang dibazirkannya. Usah kita berterusan dengan gaya  hidup yang sia-sia yang tidak menambah bekalan kita menghadap yang Maha Esa. Yang telah berlalu takkan kembali. Yang bakal mejelang harus ditempuhi dengan tekad amal yang berterusan.

Sesungguhnya tiada yang lebih bernilai daripada masa yang diberkati dengan amal dan taqwa. Percayalah bahawa amal baik walau sehari bisa menghapus takungan dosa yang berdekad lamanya…kerana sesungguhnya rahmat Allah itu lebih luas daripada langit dan bumi ini seisinya.

Perhamba dirimu pada Maha Pencipta

Akan kau lihat dunia datang kepadamu

Masa menambah ceria hidupmu

Hingga kau rasa ajal yang dekad

Adalah anugerah buatmu

Jemputan menghadap Yang Maha Memiliki

Kenapa HAMAS melancarkan roket ke wilayah Israel?

Tindakan HAMAS melancarkan roket adalah satu tindak-balas kepada beberapa siri serangan yang dilancarkan tentera Israel di sekitar sempadan Gaza yang telah membunuh beberapa orang rakyat Palestine dan tentera Gaza. Israel jelas tidak menghormati gencatan senjata selama 6 bulan yang dipersetujui dalam ‘Peace Valley Plan’ hasil inisiatif Tony Blair, Ketua Pasukan PBB tentang Isu Palestine tatkala melancarkan serangan ke wilayah Gaza bermula pada 4 November 2008.

Jadi Israel yang memulakan perang kali ini?

Israellah yang memulakan konflik hari ini. Bermula dengan merampas tanah Palestine sejak awal 1900, mereka dengan kejamnya mendirikan sebuah negara haram yang peliknya direstui oleh PBB. Penipuan mereka tidak pernah berhenti kerana mereka tahu US dan beberapa negara Eropah menyokong mereka. Perang pada kali ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah dalam rangka mereka memusnahkan semangat juang dan penentangan berterusan rakyat Palestine untuk memerdekakan diri mereka daripada cengkaman Israel dan kuasa barat. Mereka sengaja melancarkan siri serangan kecil pada 4 November sebagai provokasi terhadap HAMAS untuk membalas. Harus kita ingat bahawa walaupun diserang HAMAS masih ingin melanjutkan perjanjian damai tetapi tidak diendahkan Israel. Justeru, sebaik tamat tempoh gencatan senjata HAMAS melancarkan roket ke wilayah Israel.

Kenapa dunia tidak maklum akan hal ini?

Kerana sekitar 4 November dunia sedang hangat mengikuti perkembangan pilihanraya di US. Akhbar dan TV hanya memfokuskan pandangan pada Obama!

Mengapa HAMAS tidak menghentikan serangan roket sekiranya ia mampu menyelamatkan rakyat Gaza daripada terus dibedil Israel?

Harus kita ingat bahawa Israel tidak pernah hirau akan keselamatan rakyat Palestine. Ini bukan isu baru. Mereka sudah masak dengan perangai Israel. Jika dalam tempoh gencatan senjata sekalipun Israel membedil rakyat Palestine inikan pula bila gencatan senjata tidak berkuat-kuasa. Dengan kata lain, menghentikan serangan roket tidak akan menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestine.

Jadi apa HAMAS peroleh daripada tindakan melancarkan roket ke wilayah Israel kerana sehingga hari ini kita melihat korban rakyat Palestine semakin bertambah?

Kemenangan! Ya, kemenangan. HAMAS tidak menyangka Israel akan membalas serangan roket mereka dengan perang nekad seperti yang kita lihat pada hari ini. Ianya sungguh kejam! Tetapi apabila Israel menetapkan bahawa mereka akan meneruskan serangan dan memenangi konflik ini dengan melumpuhkan keupayaan ketenteraan HAMAS, hanya serangan roketlah yang bakal menafikan keangkuhan Israel untuk memenangi perang kali ini. Hanya serangan roketlah yang boleh membunuh semangat tentera Israel yang angkuh. Hanya serangan roketlah yang bakal mendedahkan kepada dunia akan kekejaman Israel yang selama ini seakan-akan tidak dipedulikan masyarakat antarabangsa. Nah, hari ini terpampang di hadapan mata kita akan keangkuhan Israel melakukan jenayah perang.

Jadi HAMAS rela menyaksikan rakyat mereka dibedil Israel?

Siapa kita untuk mempersoal kerelaan HAMAS melihat rakyat mereka dibedil sedangkan merekalah yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat Palestine sejak mula HAMAS ditubuhkan. Apabila Arafat dan Fatah mula bersekongkol dengan Israel dan US untuk menipu rakyat Palestine, HAMAS menjadi wakil tunggal yang mempertahankan tanah air, identiti dan maruah rakyat Palestine. Perhatikan bagaimana tokoh mereka, Nizar Rayyan, yang rumahnya dibedil lantas mengorbankan 4 orang isteri dan 8 orang anaknya, menunjukkan contoh dan keberanian. Persoalan rela atau tidak timbul di pihak HAMAS. Yang patut kita tanyakan ialah relakah Israel meneruskan kekejaman yang tidak mengenal beza antara kanak-kanak, wanita, orang tua dan tentera?

Sejauh mana corak penentangan HAMAS dalam konflik hari ini boleh meninggalkan kesan yang positif kepada rakyat Palestine?

Penentangan HAMAS adalah satu usaha berterusan untuk mengenakan tekanan kepada Israel dalam usaha membebaskan rakyat Palestine daripada kekejaman dan penjajahan. Konflik pada hari membuka ruang untuk HAMAS terus menyuarakan permintaan mereka yang seperti dipekakkan oleh masyarakat antarabangsa. HAMAS mahu Israel menghentikan kekejaman mereka. HAMAS mahu kepungan Israel terhadap Gaza yang selama ini telah menyebabkan rakyat Gaza menderita kelaparan, kekurangan bekalan perubatan, dan putus bekalan tenaga dihentikan. HAMAS mahu hak mereka untuk memerintah selepas memenangi pilihanraya pada 2006. HAMAS mahu kedaulatan Palestine diiktiraf dengan Israel keluar daripada wilayah Palestine yang dimaklumi sebelum krisis 1967. HAMAS mahu Israel membebaskan rakyat Palestine di West Bank (kini di bawah kuasa Mahmud Abbas) daripada pemerintahan tentera. Apabila masyarakat antarabangsa mengiktiraf permintaan asas ini banyak perubahan positif bakal mengambil tempat. HAMAS bertindak realistik kerana mereka tahu hanya kerjasama dengan masyarakat antarabangsa boleh menghentikan kekejaman Israel.

Kenapa HAMAS tidak meletakkan senjata dan menyelesaikan konflik hari ini di meja rundingan?

Pertama sekali, HAMAS telah bersedia berunding dengan Israel sejak 1994 lagi. Israel bagaimanapun enggan berunding dengan HAMAS kerana mereka melabel HAMAS sebagai terrorist. Mereka lebih senang berunding dengan FATAH kerana FATAH bersedia mengiktiraf kewujudan Israel dan mudah diperkotak-katikkan. Jadi bagaimana HAMAS boleh menerima perjanjian yang langsung tidak melibatkan mereka di dalam perbincangan.

Kedua, Israel tidak pernah menepati janji mereka setiap kali rundingan damai berlangsung. Berpuluh-puluh Resolusi UN tidak diendahkan. Antaranya resolusi yang mengisyhtiharkan pengharaman Israel untuk menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara mereka, mengarahkan Israel keluar dari wilayah Palestine yang sah sejak 1967, membenarkan rakyat Palestine kembali ke tanah air mereka, melepaskan kepungan dan sekatan ekonomi dsbgnya.

Ketiga, HAMAS tidak pernah mengatakan mereka tidak bersedia berunding. Pemimpin HAMAS yang berada dalam buangan sentiasa bergerak membina inisiatif rundingan namun suara mereka tidak diendahkan. Pihak antarabangsa enggan melibatkan HAMAS di meja rundingan kerana mereka masih melabel HAMAS sebagai terrorist. Ajakan mereka hanyalah ajak-ajak ayam sahaja. Lebih malang lagi apabila permintaan HAMAS tidak pernah diendahkan sedangkan apa yang diminta oleh HAMAS adalah hak-hak mereka yang telah pun diluluskan oleh berpuluh-puluh resolusi UN.

Antara keengganan Israel duduk semeja dengan HAMAS ialah kerana HAMAS tidak bersedia mengiktiraf Israel dan menerima pelan penubuhan dua negara dalam wilayah Palestin. Kenapa HAMAS tidak bersedia untuk berkompromi dalam isu ini sekiranya ia boleh menyelamatkan nyawa rakyat Gaza?

HAMAS berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan kebenaran. Mengiktiraf Israel memberikan impak yang amat negatif bukan sahaja dari sudut prinsip tetapi undang-undang, polisi antarabangsa, dan hak-hak kemanusiaan. Ketundukan dan kesediaan UN, EU dan US untuk mengiktiraf Israel tidak menjadikan satu kemestian untuk HAMAS turut sama mengalah. Mereka boleh berputus-asa mencari jalan penyelesaian kepada konflik ini tetapi rakyat Palestin yang menanggung derita saban hari tidak akan berhenti mempertahan hak-hak mereka.

Perlu kita fahami bahawa sekiranya HAMAS mengiktiraf Israel dan menerima pelan 2 negara ia bermaksud:

1. HAMAS mengiktiraf bolehnya wujud sebuah negara yang dibina atas tindakan merampas tanah warganegara lain.
2. HAMAS mengiktiraf tindakan Israel merampas tanah rakyat Palestine dan membiarkan rakyat mereka hidup dalam buangan di kem-kem pelarian ie. menafikan secara total hak mereka untuk kembali ke kg. halaman mereka
3. HAMAS mengiktiraf kebenaran ajaran Zionis dan hak-hak Zionis terhadap Jerusalem
4. HAMAS mengiktiraf kebenaran ajaran Zionis berbanding akidah Islam yang memberi hak dan kemuliaan menjaga Jerusalem kepada umat Islam
5. HAMAS mengiktiraf tindakan ganas Zionis yang telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Palestin sejak 1948 atas dasar mempertahan diri dan negara mereka
Jadi isu ini adalah isu yang amat besar merangkumi aspek akidah, undang-undang, prinsip keadilan dan hak-hak kemanusiaan sejagat. Mengiktiraf Israel bermakna mengiktiraf keganasan dan pencabulan kepada hak-hak kemanusiaan. Jika UN, EU dan US mengalah untuk memikul tanggungjawab ini, HAMAS bersedia memikulnya. Maka kita seharusnya berbangga dengan perjuangan HAMAS dan bangun untuk menyokong mereka. Lihatlah pada hari, bukan umat Islam sahaja yang menyokong, semua orang cintakan keadilan dan kebenaran bangkit memberikan sokongan kepada HAMAS.

Jadi apakah jalan penyelesaian kepada isu ini?

Secara benarnya Israel harus menyerahkan kepada rakyat Palestine untuk menentukan nasib mereka kerana merekalah yang merampas tanah rakyat Palestine. Tapi kita perlu realistik di dalam hal ini. Israel tidak akan tunduk dan rakyat Palestine juga tidak kan berhenti berjuang mempertahankan hak-hak mereka. Justeru jalan penyelesaian yang jelas buat masa ini hanyalah perjanjian damai yang panjang. HAMAS telah pun mencadangkan perjanjian damai selama 10 tahun pada 2003 tetapi ditolak mentah-mentah oleh Israel dan US.

Israel perlu menunjukkan komitmen mereka terhadap pelan damai kerana merekalah yang memulakan konflik ini dan merekalah yang kerap kali mencabuli gencatan senjata. Dalam konflik hari ini contohnya, Israel telah merancang serangan sejak setahun yang lalu. Dengan kata lain, Israel menandatangani Peace Valley Plan selama 6 bulan secara tidak ikhlas kerana dalam diam mereka merancang untuk menyerang Gaza sebaik gencatan senjata 6 bulan tamat.

Sebagai langkah pertama dalam usaha pelan damai yang panjang ini, Israel perlu melaksanakan segala tuntutan resolusi-resolusi yang diluluskan UN. Antaranya ialah keluar secara total dari West Bank, Timur Jerusalem dan Gaza, melepaskan kepungan dan sekatan ekonomi terhadap wilayah Palestine, tidak menyekat bantuan kemanusiaan masuk ke Palestine.

Israel dan dunia perlu mengiktiraf demokrasi di Palestine yang mana telah mengangkat HAMAS sebagai parti memerintah yang sah. Label terrorist ke atas HAMAS perlu dilucutkan. Kerjasama perlu dijalin untuk memastikan wilayah Palestine terus dalam keadaan aman.

Sekiranya perjanjian damai ini berjalan dengan baik, mungkin di masa akan datang kita akan dapat melihat Israel dan Palestine dapat hidup aman dalam wilayah yang sama. Ini bukan mustahil kerana tamadun Islam dahulu membuktikannya apabila Islam, Kristian dan Yahudi dapat hidup aman di Jerusalem.

Mereka yang prihatin dengan konflik Israel-Palestine ini sering diajak berdemonstrasi dan memboikot produk Israel. Sejauh manakah langkah ini meninggalkan kesan?

Ramai yang memandang remeh pendekatan ini. Mereka yang hadir berdemonstrasi dan turut serta memboikot produk Israel juga tidak terlepas daripada pandangan sebegini. Akhirnya, demo dan boikot tidak ada kesinambungan dan terhenti di tengah jalan. Ia hanya hangat apabila ada isu yang cukup besar berlaku.

Demonstrasi adalah pendekatan yang amat efektif di dalam negara demokrasi. Demonstrasi adalah ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat mereka secara lantang. Pemimpin di bawah sistem demokrasi tidak boleh mengendahkan laungan-laungan demonstrasi kerana mereka tahu bahawa ia bakal memberi impak negatif ketika pilihanraya seterusnya.

Demonstrasi juga adalah ruang berkesan untuk menyebarkan maklumat, mewujudkan kesedaran awam dan membina sokongan umum terhadap sebarang isu. Kita akan dapat banyak manfaat sekiranya kita benar-benar melibatkan diri di dalam demonstrasi dan bukannya sekadar menunjukkan muka, menghulur derma, bergambar dan kemudian pulang dengan perasaan ‘aku telah menyumbang’. Justeru jika hadir ke demonstrasi lawati meja-meja aktivis, tekun mendengar input-input daripada pemidato dan ambil inisiatif untuk bertanya bantuan dalam bentuk apa yang boleh kita hulurkan.

Boikot pula adalah pendekatan yang berkesan dari aspek ekonomi. Ianya seumpama sekatan ekonomi atau embargo tapi dalam bentuk yang lebih unik kerana ia menunjukkan kesatuan yang lebih meluas. Kita dapat melihat kesan efektif boikot terhadap barangan Denmark semasa isu kartun Muhammad SAW tidak lama dahulu. Ianya tidak mustahil dalam isu Israel. Yang kita perlukan ialah komitmen. Kita perlu melatih diri kita. Memang tidak dinafikan senarai syarikat yang menyumbang kepada Israel panjang. Tapi kalau dapat mulakan dengan 5 produk pada tahun pertama dan perlahan-lahan menambah 5 lagi produk seterusnya pada tahun-tahun berikutnya kita akan dapati ianya tidaklah sesukar yang kita bayangkan. Boikot terhadap barangan Israel ini harus dibudayakan.

Mungkin ada yang mengatakan ianya bakal meninggalkan kesan negatif kepada status ekonomi. Ianya adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya ia bakal merancakkan ekonomi dengan keluaran produk-produk baru daripada usahawan-usahawan kecil terutamanya di negara-negara membangun. Ia bakal mewujudkan saingan dalam pasaran dan menjadikan ekonomi lebih kompetitif. Syarikat-syarikat besar Israel akan terpaksa tunduk dan tidak boleh lagi menabik dada memonopoli keuntungan pasaran. Tanpa keuntungan tiadalah sumbangan buat Israel dan tiadalah peluru, F-16 dan roket-roket yang dapat dibeli untuk membedil Palestine.

Namun, apa yang paling penting adalah ganjaran pahala yang kita himpunkan daripada usaha ini. Usah kita mengeluh kita tidak mampu menyumbang apa-apa. Nah, caranya telah diketengahkan. Rebutlah pahala di medan yang terbuka ini.

Andai demonstrasi dan boikot serta tekanan-tekanan lain (seperti lobi di UN, lobi di OIC, lobi di Liga Arab, kajian akademik tentang isu Israel-Palestine, embargo minyak, pengutusan tentera pengaman, tekanan ekonomi etc.) ini berjaya, percayalah Israel akan terpaksa tunduk. US juga terpaksa ikut sama. Memandangkan Israel disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia, serangan dan sokongan kita perlu dipelbagai. InsyaAllah dengan izin Allah kita akan menang melalui kesatuan tekad dan usaha kita ini.

Sekian.

Khalid Jimat,
Ketua Wakil MSM,
Mantan Presiden LUMSOC,
Leeds.

Masih

Januari 12, 2009

Bicara membisu sejuta bahasa
Bahasa menghilang seribu rasa
Rasa mendesak seratus kenapa

Tak terlafaz kata…masih
Jiwa mencari…masih
Memburu rasional…masih
Bisakah kasih terputus di sini?

Kau pergi secara tiba-tiba. Masih
segar amanahmu. Masih
harum pesanmu. Masih
banyak impianmu. Masih
ku damba hikmah darimu

Sepotong doa buatmu ayah
Dalam setiap keping salam
Ya Rabb, Ya Rabb
Moga ayah dalam lindungan-Mu…masih
dan selamanya.

12:26
Isnin, 12 Januari 2009
27, Kelsall Grove
al-walid

*Kepada Munzir, moga tabah meneruskan episod kehidupan. Al-Fatihah atas pemergian seorang ayah.

Kerana Manisnya Ukhuwwah…

Disember 6, 2008

care_for_a_handshake__by_prateekrajbhandari

Sesungguhnya tiada manusia yang mampu hidup berseorangan. Kita dijadikan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kita saling kenal-mengenal dan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain.

Firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)

Lihatlah pada diri kita. Apakah kita mampu menggapai apa yang kita miliki pada hari ini tanpa sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan. Apakah kita dapat membina diri, peribadi dan perspektif yang kita miliki hari ini secara bersendirian tanpa perlu ditunjuk-ajar, dinasihat dan ditegur oleh sesiapa yang berada di sekeliling kita. Sedangkan Rasulullah SAW memerlukan sahabat seperti Abu Bakar ra. Sabda baginda:

“Andai saja aku dibolehkan mengambil kekasih (selain Allah), pasti aku akan memilih Abu Bakr, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.” (Rujukan: Bidayah wan Nihayah oleh Ibn Katsir)

friend____by_salihguler

Persahabatan adalah satu keperluan kepada manusia dan sesungguhnya tiada persahabatan yang lebih mulia daripada persahabatan yang dianjurkan oleh Islam. Samada kita sedar atau tidak, persahabatan yang terjalin di antara kita pada hari ini adalah nikmat yang sangat besar daripada Allah SWT. Kita dipertemukan dalam satu perhimpunan yang tidak pernah kita terfikir akan berlaku pada 5 tahun yang lalu. Kita tidak pernah kenal-mengenali pada 5 tahun yang lalu. Tetapi pada hari ini, alhamdulillah kita dipertemukan dalam suasana penuh kasih-sayang di antara sesama muslim. Syukurlah kepada Allah SWT kita dipertemukan di sini bukan untuk bersengketa atau berperang tetapi untuk sama-sama membina kefahaman kita, sama-sama bantu-membantu di dalam mempertingkatkan keupayaan kita dan sama-sama berusaha untuk lengkap-melengkapi antara satu sama lain dengan ilmu dan iman.

Samada kita sedar atau tidak, ikatan kasih sayang yang kita miliki pada hari ini sukar untuk dipadamkan oleh sesiapa pun sekiranya kita benar-benar memahami rahsia dan hikmat yang terkandung di sebaliknya. Ukhuwah islam bukanlah berdasarkan warna kulit, keturunan, pangkat, kekayaan, kelab sukan yang diminati, sekolah yang pernah kita datangi, daerah yang pernah kita diami atau makanan yang kita gemari tetapi atas dasar akidah yang sama. Sekiranya ada di antara kita yang meletakkan paksi dan dasar ikatan yang dimiliki pada hari ini untuk tujuan-tujuan selain islam, haruslah kita lekas-lekas mengubah paksi dan dasar kita pada hari ini dan saat ini kerana kita tidak mahu ikatan yang kita bina dan miliki pada hari ini berakhir dengan sekelip mata. Perhatikanlah firman Allah SWT:

“Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfal: 63)

Sekiranya ikatan yang kita bina dan miliki pada hari ini disandarkan atas paksi dan dasar akidah islam, yakinlah bahawa tiada apa yang mampu memisahkan kita – tidak harta, pangkat, keturunan, kecenderungan, hobi, atau harta yang kita miliki di alam yang fana ini.

Amatlah kita takuti kiranya hilang rasa kasih sayang di antara kita semua. Kerana Rasulullah SAW bersabda:

“Man laa yarhaminnaasa laa yarhamhullaah”. Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya. (H.R. Tirmidzi).

Ditegaskan lagi oleh Rasulullah SAW:

“Laa tunza’ur rahmatu illaa min syaqiyyin”. Rasa kasih sayang tidaklah dicabut melainkan hanya dari orang-orang yang celaka. (H.R. Ibn. Hibban).

Justeru perlulah kita semua pada hari ini menilai kembali ikatan yang kita bina dan miliki pada hari ini. Apakah kita benar-benar menyayangi para sahabat kita samada yang kita telah lama kenal atau baru sahaja berkenalan pada hari ini atas paksi dan dasar yang benar sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Pandanglah wajah sahabat kita dan tanyakan pada diri kita samada kita menyayanginya kerana Allah SWT kerana Allah SWT telah berfirman di dalam sebuah hadith Qudsi:

“Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling menasihati kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku.”(H.R. Ahmad)

Namun, sekadar merenung dan memandang tidak memadai. Kita membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan. Dari Anas ra. bahwa ada seorang laki-laki berada di dekat Rasulullah saw., lalu ada seorang laki-laki lain lewat di depannya. Orang (yang berada di dekat Rasulullah) itu berkata, “Ya Rasul, sungguh saya mencintai orang itu.” Rasulullah bertanya, “Apakah kamu sudah memberitahunya?” la berkata, “Belum.” Rasulullah bersabda, “Beritahukan kepadanya.” Kemudian ia mendekati orang itu dan berkata, “Sungguh aku mencintaimu karena Allah swt.” Laki-laki itu menjawab, “Mudah-mudahan Allah yang karena-Nya engkau mencintai aku mencintaimu.”

Sabda Rasulullah SAW:

“Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada di Tangan-Nya, kalian tidak akan masuk surga hingga beriman, dan kalian tidak beriman hingga kalian saling mencintai. Maukah kalian saya tunjukkan suatu amal yang bila dikerjakan maka kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian!”

Salam yang dimaksudkan di sini bukanlah sekedar mengucapkan salam seperti yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang, tanpa penghayatan dan tanpa mengesankan. Terkadang kita mengucapkan, “Assalamu’alaikum,” lalu mendapat jawapan seperti, “Kum salam.” Tentu ini keliru. Seharusnya ia disambut dengan, “Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,” kerana Allah SWT berfirman:

“Apabila kalian dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa),” (An-Nisaa: 86)

Sesungguhnya sebagian orang mengucap salam sekadar memenuhi tradisi namun kita seharusnya mengucapkan salam sebagai ibadah. Yakni ketika kita mengucapkan salam itu, kita merasakannya sebagai sebuah doa, dan kita mengucapkannya juga dengan semangat berdoa. Bahkan ketika mengucapkan salam, kita akan menghadapkan wajah kita kepada orang yang dituju kerana Rasul SAW bersabda, “Dan hendaklah engkau mendatanginya dari arah wajahnya!” Demikian itu adalah karena wajah merupakan representasi seseorang. Kita akan dapat mengamati bagaimana pengaruh ucapan salam kita pada wajah sahabat kita. Kita akan dapat melihat apakah sahabat kita merasa senang atau tidak kepada kita ketika bertemu, melalui cahaya di wajahnya.

Sabda Rasulullah SAW lagi:

“Senyummu di depan wajah saudaramu adalah sedekah.”

Baginda mengajak kita untuk tersenyum di hadapan sahabat kita, karena senyum yang hangat memiliki pengaruh yang besar dalam menggerakkan hati dan menghidupkan nurani.

Ada banyak lagi yang boleh kita lakukan sebagai tanda kita benar-benar menyayangi sahabat kita sepertimana yang dianjurkan oleh Islam. Nah, di sini diberikan 3 contoh – melafazkan cinta, memberi salam dan menghulurkan senyum. Ianya praktikal dan mudah untuk diamalkan.

Marilah kita sama-sama menyemai semangat ukhuwah di antara kita semua sesuai dengan ruh dan semangat Islam. Percayalah ianya mampu menjadi salah satu benteng dan senjata kita daripada tipu-daya musuh dan syaitan. InsyaAllah sekiranya kita ikhlas, Allah SWT akan menyuburkan di dalam hati kita ukhuwah islam yang tidak berbelah-bagi. Ameen. Wallahua’lam.

Kelibat masa selalu gagal dirakam mata. Bayangnya tidak pernah tergambar di geliga minda. Namun, hadirnya tidak pernah disanggah, ertinya tidak pernah dialpa, dan harganya tidak pernah disia-sia…oleh hati yang hidup!

Ya, hati yang hidup! Hati yang awal harinya diembun tangis tahajjud, siangnya bermandi keringat, dan malamnya ringan menghambur zikir. Hati yang sentiasa diperbaharui niatnya, ditandangi taubatnya, dan dihiasi untai-untaian mahmudah. Hati yang tenang menyusun langkah meninggalkan dunia buat menuju akhiratnya.

Ramai hari ini berlumba-lumba mengayakan khazanah minda memerah payah hingga ke menara gading. Tidak kurang juga ramainya menyusun-atur jadual riadah, diet, dan temujanji dengan tuan doktor demi afiat sebatang tubuh. Tapi siapa yang kisah akan nasib seketul daging yang dambakan santapan rohaninya? Siapa endah mencari penawar sebenar jiwa tatkala diri dilanda ujian, dihambat wahan, dan dibelai racun syahwat?

Alangkah ruginya insan…alangkah ruginya. Lupakah pada pesanan ar-Rasul, ‘ …andai raja-raja itu tahu akan indahnya iman, akan diburu kamu sekalian berbekal semua khazanah dunia untuk meragutnya daripada kamu…’

Kita seharusnya menyedari bahawa hidup ini adalah bayangan seketul daging bernama hati. Tidaklah kedudukan akal di atas (kepala) itu yang meninggikan peribadi, bahkan kedudukan hati di tengah-tengah (dada) itulah yang memuliakan ruh yang bermukim sementara dalam sebatang tubuh. Hati itu bertindak laksana pusat kuasa graviti yang memastikan akal, pancaindera dan anggota-anggota di sekelilingnya senantiasa berlegar pada paksi-paksi hidayah…asal sahaja ia dididik dengan syiar Islam yang mulia. Hati yang baik adalah pusat graviti…dunia penuh kebaikan.

Wahai jiwa-jiwa yang berkelana
Bertebaranlah memburu hikmah
Asal tak lupa membaja rohani
Agar ketemu tempat kembali